Monday, January 25, 2010

Pro M Pro PKR, Pro Aspirasi Pro HEP

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kampus di empat universiti awam berlangsung hari ini dalam suasana panas, terutama di Universiti Malaya (UM) di mana para penyokong yang berbaju oren dan hitam melaungkan slogan antara satu sama lain.

Seperti biasa, pilihan raya kampus menyaksikan pertembungan antara dua kumpulan pelajar - Pro-aspirasi yang didakwa mendapat sokongan pihak berkuasa kampus, dengan Pro-Mahasiswa (pro-M).

Kira-kira 200 penyokong pro-M di Universiti Malaya, ramai daripadanya memakai baju oren, berarak ke pusat penamaan calon pagi ini. Manakala kira-kira 200 penyokong pro-Aspirasi turut berkumpul di fakulti sains, dekat pusat penamaan calon.

Penyokong pro-M melaungkan slogan 'hapuskan rasuah' dan membawa plakad yang bertulis 'RM5,000' dan nama sebuah hotel. Mereka mendakwa kumpulan pro-Aspirasi mendapat bantuan kewangan dari pihak berkuasa kampus.

Manakala penyokong pro-Aspirasi pula membalas dengan melaungkan slogan 'pro-M alat PKR'

Sejumlah 41 kerusi di pertandingkan di UM kali ini. Pro-M mengemukakan 28 calon manakala pro-Aspirasi bertanding di semua 34 kerusi.

Tiga lagi universiti yang terbabit dalam proses penamaan calon hari ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Suasana di UKM juga panas di mana masing-masing 200 penyokong Pro-M dan 100 pro-Aspirasi, hadir untuk menyokong calon mereka.

Pro-M turut membawa dua kuda mainan yang bertulis “aspirasi”, sambil mengejek lawan mereka yang didakwa dikuasai pihak berkuasa kampus.

Di UKM, selepas penamaan calon tadi, pro-M menang satu kerusi tanpa bertanding. Manakala 34 kerusi lagi akan dipertandingkan pada 28 Januari ini.

UTM pula bertandingkan 51 kerusi - 46 kerusi di kampus Skudai dan lima kerusi di kampus Kuala Lumpur.

Pro-M meletakkan 43 calon dan pro-Aspirasi 51 calon. Sehingga ini pro-Aspirasi menang lapan kerusi tanpa bertanding.

Di USM pula sejumlah 39 kerusi akan dipertandingkan, tetapi pro-M hanya meletakkan tiga calon. Setakat ini pro-Aspirasi sudah memenangi 24 kerusi tanpa bertanding.

Turut bertanding kali ini ialah enam calon bebas.

Proses penamaan calon di UM, UKM dan USM berjalan dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari, dan dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari bagi kampus UTM.

No comments: