Thursday, June 5, 2008

Riba PTPTN: Adakah PAS Akan Hapuskannya Bila Memerintah?

PTPTN merupakan isu mutakhir yang cuba diungkai dan dirungkai oleh mahasiswa pembangkang. Dahulu mahasiswa semuanya dapat biasiswa, tetapi sekarang ini biasiswa ini hampir tiada lagi dan dinamakan pula sebagai pinjaman. Biasiswa tidak perlu dibayar tetapi pinjaman perlu dibayar.

Dahulu, universiti boleh dikira dengan jari yang sepuluh. Tetapi, sekarang mungkin perlu ditambah jari kaki sekali. UiTM sendiri pun ada 130,000 penuntut. Tidak dicampur lagi pelajar kolej komuniti dan pelajar-pelajar kolej swasta. Oleh itu, jumlah yang menerima biasiswa jika dihitung mungkin sama macam zaman sebelum ada pinjaman, samada tiada beriba seperti JPA ataupun sudah beriba seperti PTPTN.

Penulis lebih suka jikalau kerajaan mengelakkan riba dikenakan samada atas nama caj ataupun apa sahaja namanya. Cumanya, itu bukan persoalan penulis sekarang. Penulis hendak mempertikaikan matlamat sebenar mahasiswa PAS ataupun Jemaah Islam Kampus ini dalam hal PTPTN. Mereka sebenarnya tidak tahu apa yang mereka cuba katakan, melainkan hanyalah anggukan dan ulangan seperti seekor burung kakaktua.

Mungkin ada mekanisme yang boleh diperkenalkan dalam hal PTPTN ini, sama halnya seperti DEB. Barangkali pelajar institusi tertentu seperti penuntut UiTM yang akan diberi keistimewaan ini selari dengan hak keistimewaan umat Melayu. Namun, penulis yakin, jikalau hal ini dibangkitkan ataupun cuba diimplementasi, maka adalah di kalangan ahli jemaah yang mengaku terlalu faham akan wahdatul amal dan wahdatul fikr ini yang akan membangkang, seolah-olah dirinya sendiri tidak berkhitan ataupun tidak tahu mengucap.

Itulah situasi yang akan berlaku. Namun, kalau PAS yang akan memerintah, barangkali nasibnya akan berubah. Itulah harapan hati mereka. Tidak juga kalau tiba-tiba jika "pakar ekonomi" jamaah seperti Zaharuddin Abdul Rahman yang naik menjadi Pengerusi PTPTN jikalau di zaman PAS memerintah. Mungkin dia akan mengIslamkan PTPTN.
Cuma harus mahasiswa berwaspada. PTPTN barangkali namanya diIslamkan, tetapi hanya sekadar nama sahaja. Murabahah, mudarabah dan pelbagai sahaja nama hiasan boleh diberi. Tetapi, bagi mahasiswa suasananya adalah lebih teruk lagi. Jikalau sekarang, "ribanya" adalah 3% tetapi selepas diIslamkan mungkin naik setinggi 6 hingga 7%.







Jadi bolehkah pihak mahasiswa pembangkang mengatakan bahawa hanya riba sahaja faktor kenapa PTPTN mesti dikaji semula? Penulis yakin bahawa dilantik manusia seperti Zaharuddin sebagai pengerusi PTPTN, maka itulah penyelesaiannya. Mungkin Fauzul Naim, orang kuat PTS akan memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis, bukan pemuja-pemuja UZAR.

Syahdan, jikalau riba sahaja menjadi persoalan asas penentangan, maka kenapa ramai ustaz-ustaz yang dilatih JIK dan juga PTD-PTD mereka yang bertaburan sehingga ke pejabat Perdana Menteri tidak segan silu mengambil pinjaman kerajaan yang ribanya juga bernilai 4%? Maka, terkinja-kinjalah ustaz-ustaz dan pegawai kerajaan yang dilatih JIK ini bergelut untuk disahkan jawatannya dalam perkhidmatan untuk mengambil pinjaman kerajaan ini. Semasa mengambil PTPTN garang benar amarah mereka terhadap 3-4% riba yang mereka makan, tetapi seronok pula melantak pinjaman kerajaan yang ribanya juga sama peratus dengan riba PTPTN ini.

Maka, adakah wujud hipokrasi di sini? Kenapa gagasan dan fikrah menentang riba ini hanya sewaktu mereka menjadi mahasiswa? Kenapa orang yang sama ini juga melantak riba dengan lahapnya dan kecewa besar apabila lambat disahkan jawatan? Maka, inilah hipokrasi mahasiswa pembangkang. 10 tahun hampir berlalu, dan pemakan riba yang menentang PTPTN ini, tidak mengembek sedikitpun terhadap riba pinjaman kerajaan yang mereka ambil setelah bergelar ustaz.

Oleh itu, nyatalah, idealisme yang mahasiswa pembangkang ambil bukanlah datang daripada otak dan fikrah mereka sendiri. Apabila sudah bekerja, ikatan dan ukhuwwah semakin terlerai.Persoalan madiyyah lebih diutamakan oleh ahli-ahli jamaah ini. Lebih enak sebenarnya mereka berkongratulasi akan siapa yang dapat anak ramai, kereta besar dan rumah besar.

Kesimpulannya, bercakap soal riba PTPTN tidak semudah seperti bercakap tentang bingkai cermin mata. Hanya si dungu sahaja yang menganggap persoalan PTPTN ini boleh diselesaikan secara simplistik tidak kiralah samada latarbelakangnya ekonomi ataupun akademi pengajian Islam.

Dipetik dari: maharajazhou.blogdrive.com

No comments: